Perlukah Kad Kredit atau Batalkan sahaja?
Ikuti beberapa panduan untuk Membantu Anda Menjawab Soalan “Wajarkah saya terus memiliki kad kredit dan membayar RM50 cukai perkhidmatan atau patutkah saya batalkan sahaja kad kredit tersebut?”
Walaupun setiap tahun Bajet tahunan telah diumumkan oleh Perdana Menteri / Menteri Kewangan Malaysia, namun pelaksanaan cukai perkhidmatan kad kredit sebanyak RM50 terus menjadi perbincangan hangat di kalangan rakyat Malaysia. Soalan yang kerap kali diajukan ialah: “Wajarkah saya terus memiliki kad kredit dan membayar RM50 cukai perkhidmatan atau patutkah saya batalkan sahaja kad kredit tersebut?”
Dalam artikel ini, kita akan membincangkan perkara-perkara yang harus diketahui semasa mempertimbangkan sama ada untuk membatalkan atau terus memiliki kad kredit. Setelah membaca artikel ini, anda bolehlah mempertimbangkan kelebihan dan kekurangan yang ada pada kad kredit dan kemudiannya membuat keputusan sendiri sama ada untuk terus memiliki atau membatalkan kad kredit yang dimiliki.
KELEBIHAN
"senyuman mcm ni la saya dulu ble tang nk guna credit card"
• Kad kredit boleh digunakan pada waktu kecemasan. Contohnya, jika anda mendapatkan rawatan di hospital persendirian, kebiasaannya pihak hospital akan meminta bayaran pendahuluan. Kad kredit boleh membantu apabila anda berdepan dengan situasi sebegini.
• Kad kredit lebih mudah dan praktikal untuk dibawa berbanding dengan wang tunai.
• Syarikat-syarikat kad kredit sudah tentu akan cuba sedaya upaya mereka untuk mengekalkan anda sebagai pelanggan. Mereka mungkin akan menawarkan pelbagai bonus baru, ganjaran serta insentif supaya anda terus menggunakan kad kredit mereka. Lebih menarik lagi, ada juga bank yang membenarkan pelangannya menggunakan mata ganjaran yang dikumpul untuk melangsaikan cukai perkhidmatan kad kredit itu.
• Kad kredit membolehkan anda membuat pembelian melalui Internet. Jika anda kerap membeli-belah secara dalam talian (online), anda pasti tahu bahawa salah satu cara pembayaran yang sering diterima ialah penggunaan kad kredit.
• Fungsi auto-debit melalui kad kredit memudahkan anda untuk membayar bil dari rumah. Ini kerana bukan semua orang mempunyai masa untuk pergi ke bank/pejabat pos/pusat pembayaran bagi membuat pembayaran.
KEKURANGAN
"Pah tu ble dah dapat bil camni...erk...sekarang berusaha untuk melangsaikan sket je lg sket je
lg..berusaha.."
• Kegagalan menguruskan hutang kad kredit dengan baik boleh mengundang pelbagai masalah, termasuklah kebankrapan. Sebuah bank terkemuka telah menjalankan kaji selidik tentang tabiat perbelanjaan rakyat Malaysia dan mendapati hanya 28% rakyat mematuhi bajet yang dibuat. Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia pula mendedahkan bahawa 50% rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap terdiri daripada mereka di bawah umur 30 tahun.
• Jika kad kredit dicuri atau nombor PIN jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya, anda mungkin terpaksa menanggung hutang kad kredit yang banyak.
• Kad kredit biasanya memberikan anda mata ganjaran yang kemudiannya boleh digunakan untuk menebus pelbagai hadiah menarik. Namun, jangan lupa bahawa anda perlu banyak berbelanja untuk mengumpul mata ganjaran tersebut. Situasi sebegini boleh mendorong anda berbelanja melebihi kemampuan, semata-mata kerana ingin mengumpul mata ganjaran dan memperoleh hadiah yang diidamkan.
• Oleh kerana anda tidak perlu menggunakan wang tunai sendiri tetapi sekadar sekeping kad untuk membeli barang, ramai yang cenderung membeli barang yang tidak perlu. Lebih teruk lagi, mereka beranggapan bahawa mereka "mampu” untuk membeli barangan yang mahal, sedangkan situasi kewangan mereka adalah sebaliknya.
• Biarpun jarang menggunakan kad kredit, anda masih perlu membayar cukai perkhidmatan sebanyak RM50 untuk setiap kad setahun dan ini sudah pastinya merugikan. Selain itu, syarikat kad kredit akan mengenakan pelbagai jenis caj bagi perkhidmatan yang ditawarkan. Walaupun ada syarikat yang menawarkan yuran tahunan percuma sepanjang hayat, ia biasanya tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Jika anda hanya menggunakan kad kredit setahun sekali, lebih baik batalkannya sahaja.
• Purata kadar faedah yang dikenakan oleh bank untuk penggunaan kad kredit ialah 18% setahun. Hakikatnya, lebih lama masa yang diambil untuk membayar hutang kad kredit, lebih banyaklah wang yang perlu dibayar kepada pihak bank!
• Yuran dan caj yang bakal dikenakan – Ingatlah bahawa bank atau syarikat kad kredit juga akan mengenakan yuran pembayaran lewat (serta yuran-yuran lain) sekiranya anda gagal menjelaskan hutang kad kredit dalam tempoh masa yang ditetapkan. Bayaran-bayaran sebegini pastinya membebankan anda dalam jangka masa panjang.
Kesimpulan
Kini, anda sepatutnya mempunyai gambaran dan idea yang lebih jelas berkaitan persoalan sama ada untuk terus memiliki atau pun membatalkan sahaja kad kredit yang dimiliki. Walau apapun keputusan anda, berikut adalah beberapa panduan mudah yang perlu diingati ketika menggunakan kad kredit:
1. Baca dan fahami terma dan syarat penggunaan kad. Elakkan kad kredit yang mengenakan yuran tahunan atau yuran lain yang tidak wajar. Berhati-hati dengan yuran tahunan yang mempunyai syarat yang membebankan seperti “Tiada yuran tahunan dikenakan jika anda berbelanja RM500 sebulan untuk petrol/barang harian”.
2. Gunakan satu kad kredit sahaja untuk tujuan kecemasan dan jangan lupa membandingkan kadar faedah sebelum mendaftar untuk kad kredit.
3. Pastikan anda sentiasa melangsaikan hutang kad kredit secepat mungkin.
4. Tetapkan had kredit untuk diri sendiri. Dengan menetapkan had perbelanjaan yang berpatutan berdasarkan pendapatan anda, masalah hutang yang membebankan boleh dielakkan berbanding mereka yang tidak menetapkan had perbelanjaan.
Sentiasa ingat bahawa kad kredit hanyalah suatu instrumen kewangan yang disediakan oleh pihak bank. Manakala, ia bukan instrumen untuk berhutang. Ia boleh membawa kebaikan dan keburukan, jadi terpulanglah kepada anda untuk menilai keperluan memilikinya serta penggunaanya dengan sebaik mungkin.
(Artikel dipetik dari Pelabur Malaysia)
No comments:
Post a Comment